KIEV, 25 Mei- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menegaskan bahawa usaha membawa pulang semua warga Ukraine yang ditahan di Rusia akan diteruskan.
Kenyataan itu dibuat menerusi satu hantaran Telegram, selepas Ukraine dan Rusia masing-masing membebaskan 307 anggota perkhidmatan dalam satu pertukaran tahanan.
Pertukaran tahanan itu merupakan hari kedua dalam siri pertukaran yang dilanjutkan, dan menurut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ia berpotensi menjadi permulaan fasa baharu dalam rundingan damai antara Moscow dan Kiev yang tergendala sebelum ini.
Difahamkan, seramai 1,000 tahanan dari setiap kedua-dua negara dijadualkan akan dibebaskan dalam tempoh tiga hari, menjadikannya pertukaran tahanan terbesar sejak perang tiga tahun itu bermula.
Bahagian pertama pertukaran telah dilaksanakan pada Jumaat apabila kedua-dua negara melepaskan 390 tahanan, termasuk 120 orang awam.
Pertukaran itu dicapai hasil rundingan singkat antara delegasi Rusia dan Ukraine yang berlangsung di Istanbul pada 16 Mei, atas dorongan daripada Trump.- REUTERS