LONDON, 25 Oktober -Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menggesa sekutu Kyiv mengenakan sekatan tambahan terhadap semua syarikat minyak Rusia, termasuk armada kapal bayangan dan terminal minyak negara itu.
Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi menyekat sumber kewangan Moscow daripada terus digunakan untuk membiayai peperangan di Ukraine.
Gesaan itu disuarakan dalam sidang media bersama di London dihadiri beberapa pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof, Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte dan Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen.
Dick Schoof mencadangkan agar Kesatuan Eropah (EU) menyelaraskan tindakan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Britain, dengan meniru sekatan ke atas syarikat minyak utama Rusia seperti Rosneft dan Lukoil.
Mark Rutte pula menegaskan bahawa sekatan baharu oleh AS akan terus memberi tekanan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang kini dilihat semakin kekurangan sumber.
“Putin sedang kehabisan wang, tentera dan idea. Sekatan baharu AS terhadap syarikat minyak Rusia akan mempercepatkan tekanan untuk menghentikan perang,” katanya.
Sementara itu, Mette Frederiksen menyatakan sokongan agar sekutu dalam Coalition of the Willing memuktamadkan keputusan mengenai pinjaman pampasan kepada Ukraine sebelum Krismas.
“Rusia mesti bertanggungjawab terhadap kemusnahan yang mereka lakukan.
Kita perlu ada penyelesaian sebelum Krismas supaya pembiayaan untuk Ukraine dapat diteruskan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin EU bersetuju untuk menyalurkan dana tambahan bagi menampung keperluan kewangan mendesak Ukraine bagi tempoh dua tahun akan datang.
Namun, mereka masih belum mencapai kata sepakat berhubung cadangan menggunakan aset Rusia yang dibekukan untuk membiayai pinjaman besar kepada Kyiv, berikutan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Belgium.
Moscow pula memberi amaran akan memberi “tindak balas menyakitkan” sekiranya asetnya dirampas.
Manakala, Presiden Putin menyifatkan sekatan terhadap syarikat minyak Rusia sebagai “tindakan tidak bersahabat” yang tidak akan memberi kesan besar kepada ekonomi negaranya. -REUTERS