KHERSON, 25 Oktober -Sekurang-kurangnya dua wanita terbunuh manakala 28 orang awam cedera selepas bandar Kherson diserang bertubi-tubi oleh tentera Rusia pagi Jumaat.
Menurut Pejabat Pendakwa Raya Kherson, serangan artileri besar-besaran itu merosakkan puluhan rumah, bangunan kediaman, kenderaan awam serta beberapa kemudahan infrastruktur utama di sekitar bandar.
Pihak berkuasa tempatan menyifatkan serangan tersebut sebagai satu lagi jenayah perang oleh tentera Rusia dan telah memulakan siasatan serta pendokumentasian bukti di lokasi kejadian.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan letupan kuat di kawasan perumahan Daerah Shumenskyi, diikuti kepulan asap tebal dan bunyi orang awam menjerit meminta bantuan.
Imej daripada Pentadbiran Tentera Wilayah Kherson turut memperlihatkan rumah dan bangunan pangsapuri rosak teruk dengan dinding serta tingkap pecah, manakala sebuah bas awam turut musnah di tempat kejadian.
Serangan terbaharu ini berlaku ketika Kherson terus menjadi antara kawasan paling teruk diserang sejak konflik Rusia-Ukraine pada 2022. -REUTERS