fb fb fb fb fb

Ribuan kakitangan kerajaan AS berdepan tekanan kewangan

Yolanda Jacobs, Presiden Kesatuan Kakitangan CDC

GEORGIA, 25 Oktober -Ribuan kakitangan kerajaan Amerika Syarikat kini berdepan tekanan kewangan selepas gangguan operasi kerajaan persekutuan memasuki minggu ketiga.

Ia menjadikannya krisis terpanjang kedua dalam sejarah negara itu.

Antara yang paling terkesan ialah pekerja Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, apabila kebanyakan mereka tidak menerima gaji penuh sejak krisis bermula.

Presiden Kesatuan Pekerja Persekutuan (AFGE) Cawangan 2883, Yolanda Jacobs berkata, keadaan kali ini jauh lebih buruk berbanding gangguan yang pernah dialaminya sejak berkhidmat di CDC pada 2004.

“Belum pernah kami lihat situasi sebegini. Kami dijadikan bahan tawar-menawar politik antara dua pihak.

Kini kami diancam tidak dibayar gaji walaupun undang-undang menjamin bayaran semula,” katanya kepada Reuters.

Jacobs menjelaskan, pekerja CDC hanya menerima bayaran separa pada tempoh bayaran pertama, manakala gaji terkini adalah kosong sepenuhnya.

“Kebanyakan kakitangan hidup bergantung kepada gaji bulanan.

Bila dua atau tiga bayaran tertangguh, ia amat membebankan dan menambah tekanan,” jelasnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa krisis ini bukan sekadar menjejaskan kebajikan pekerja, tetapi turut mengancam operasi kesihatan awam negara.

“CDC kini hampir lumpuh. Banyak kerja penting yang sepatutnya disalurkan kepada jabatan kesihatan negeri dan tempatan terhenti kerana tiada siapa untuk melaksanakannya,” ujarnya.

Jacobs juga mendakwa, pentadbiran semasa mengancam untuk tidak membayar balik gaji pekerja selepas krisis tamat.

Setakat ini, rundingan antara Parti Republikan dan Demokrat masih buntu, manakala Senat AS gagal meluluskan rang undang-undang baharu bagi memulihkan operasi kerajaan sehingga 21 November.

Krisis bajet itu menyebabkan puluhan ribu pekerja persekutuan, termasuk dari CDC, NASA dan Jabatan Kesihatan AS, terpaksa bergantung kepada simpanan sendiri serta bantuan komuniti bagi meneruskan kehidupan harian. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN