fb fb fb fb fb

China anggap ASEAN sebagai keutamaan dalam diplomasi kejiranannya

Foto BERNAMA

BEIJING, 24 Oktober - China sentiasa menganggap ASEAN sebagai keutamaan dalam dasar diplomasi kejiranannya, kata Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun.

“China berhasrat untuk bekerjasama dengan ASEAN dan negara-negara serantau bagi membincangkan rancangan kerjasama dan pembangunan, menunaikan komitmen asal, membina konsensus, mempertingkatkan kepercayaan bersama, menegakkan multilateralisme sejati serta mempertahankan perdagangan bebas dan sistem perdagangan pelbagai hala,” katanya pada sidang akhbar mingguan di kementerian itu pada Jumaat.

Beliau turut mengulangi sokongan China terhadap tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang dipilih Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

Menurut Guo, China akan terus berusaha membangunkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 dan memastikan pelaksanaan berkualiti tinggi bagi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“China juga akan memperkukuh nilai-nilai Asia mengenai keamanan, kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman, membina rumah yang aman, selamat, makmur, indah serta harmoni, sekali gus menyediakan lebih kestabilan dan kepastian kepada rantau ini dan dunia,” katanya.

Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 26 hingga 28 Okt ini. Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk pemimpin ASEAN serta rakan dialog dijangka berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk membincangkan keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif.

Guo berkata atas undangan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri China Li Qiang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-28, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 serta Mesyuarat Kelima Pemimpin RCEP pada 27 dan 28 Okt ini.

Menurutnya, Asia Timur merupakan antara rantau yang paling dinamik dan berpotensi besar di dunia.

“Kerjasama Asia Timur yang diterajui ASEAN memainkan peranan penting dalam memupuk dialog serta kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan dan mengekalkan kestabilan serantau,” katanya.

Beliau berkata dalam suasana antarabangsa dan serantau yang sedang mengalami perubahan kompleks, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan serta peningkatan unilateralisme dan fahaman perlindungan, kerjasama Asia Timur kini menjadi lebih relevan berbanding sebelumnya.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN