LONDON, 18 November- Dua lelaki bertopeng dilaporkan memecah masuk kawasan ladang di estet diraja Windsor Castle bulan lalu.
Menurut The Sun pada Isnin, dua kenderaan dicuri dalam kejadian tersebut.
"Ketika kejadian, Raja Charles dan isterinya, Camilla, tidak berada di kawasan estet tersebut.
Namun, Putera William bersama keluarganya dipercayai berada di Adelaide Cottage, yang merupakan sebahagian daripada kawasan Windsor Castle," menurut laporan itu.
Lelaki terbabit menggunakan trak curi untuk merempuh pintu keselamatan pada waktu malam sebelum memanjat pagar setinggi enam kaki.
Pihak polis memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan berhubung insiden pecah masuk di kawasan Tanah Mahkota di Windsor, barat London, sebelum tengah malam pada 13 Oktober lalu.
"Suspek memasuki bangunan ladang dan melarikan sebuah pikap Isuzu berwarna hitam dan sebuah motosikal empat roda berwarna merah. Mereka kemudian melarikan diri ke arah kawasan Old Windsor/Datchet.
"Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih diteruskan," kata jurucakap Polis Thames Valley dalam kenyataan di emel.
Istana Buckingham enggan memberikan sebarang komen berhubung insiden tersebut.
Sebelum ini, Windsor Castle pernah menghadapi ancaman keselamatan pada tahun 2021 apabila pihak berkuasa menahan seorang lelaki bersenjatakan panah yang memasuki kawasan istana.
Lelaki itu mengaku berniat untuk membunuh Ratu Elizabeth.- REUTERS