SYDNEY, 18 November- Ribut kuat melanda negeri paling padat penduduk di Australia, New South Wales (NSW), pada Ahad malam, mengakibatkan beberapa harta benda musnah, lebih 20 penerbangan dibatalkan dan sebahagian Sydney Harbour Bridge mengalami kerosakan.
Angin kencang melebihi 100 km sejam dan hujan lebat melanda Sydney serta sebahagian besar NSW pada Ahad malam, menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kebanyakan kawasan, menjejaskan penduduk di seluruh negeri, lapor Xinhua.
Biro Meteorologi (BoM) meramalkan lebih banyak ribut petir yang kuat bakal melanda timur laut NSW pada Isnin.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri NSW (SES) pada Isnin memaklumkan mereka menerima 278 panggilan kecemasan di seluruh negeri, dengan 81 daripadanya berlaku di Sydney.
Di Carinda, sebuah pekan kecil dengan populasi 93 penduduk dan terletak hampir 500 km di barat laut Sydney, tiga premis komersial musnah apabila bumbungnya diterbangkan angin kencang melebihi 150 km sejam.
Sebuah plat jalan konkrit dan keluli berukuran satu meter persegi tercabut dari Sydney Harbour Bridge semasa ribut itu, sejurus selepas 8 malam waktu tempatan pada Ahad, merosakkan 25 kenderaan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di jambatan berkenaan.
Setiausaha Pengangkutan NSW Josh Murray berkata kerajaan negeri akan menanggung kos pembaikan kenderaan itu.
"Ia umpama mimpi ngeri," kata Murray kepada Nine Radio pada Isnin. "Izinkan saya memohon maaf kepada individu yang kenderaan mereka rosak atau sesiapa yang terperangkap selama kira-kira dua jam."
Lebih 20 penerbangan ke Sydney pada Ahad dibatalkan dan penerbangan lain dari Qatar dan Fiji dialihkan ke Brisbane.- BERNAMA-XINHUA