KAHERAH, 17 Oktober - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran penyakit berjangkit di Gaza kini semakin tidak terkawal, dengan hanya 13 daripada 36 hospital di wilayah itu masih berfungsi sebahagian, susulan perang dan sekatan berterusan oleh Israel.
Pengarah Serantau WHO, Dr. Hanan Balkhy, berkata penularan penyakit seperti meningitis, cirit-birit dan jangkitan pernafasan meningkat mendadak akibat kekurangan air bersih, ubat-ubatan serta tenaga kerja kesihatan.
“Kami perlukan lebih banyak bahan api, makanan, ubat dan doktor. Situasi ini sudah melebihi keupayaan kemanusiaan. Ia perlu dihentikan segera,” katanya kepada AFP di Kaherah.
Menurut WHO, hanya lapan fasiliti kesihatan di Bandar Gaza masih beroperasi dengan terhad.
Manakala sebahagian besar hospital runtuh akibat lebih 800 serangan tentera Israel yang bermula 7 Oktober 2023.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan hampir 68,000 rakyat Palestin terbunuh dan 42,000 lagi cedera kekal.
Angka itu termasuk kanak-kanak yang tidak pernah menerima imunisasi sejak dua tahun lalu.
PBB mengesahkan angka tersebut sebagai boleh dipercayai.
Dr. Balkhy turut menegaskan bahawa sistem kesihatan Gaza kini “hampir musnah sepenuhnya” dan memerlukan berbilion dolar serta masa berdekad-dekad untuk dibina semula.
Beliau turut menyeru agar Israel membuka semua lintasan sempadan supaya pesakit dapat dihantar ke Tebing Barat dan Baitulmaqdis untuk rawatan, serta membenarkan kemasukan segera bekalan perubatan dan bahan api.
Lebih dua juta penduduk Gaza kini berdepan krisis kesihatan dan trauma psikologi serius, dengan lebih sejuta memerlukan rawatan segera — namun sistem kesihatan yang masih beroperasi kini hampir lumpuh sepenuhnya akibat sekatan Israel. - AFP