SANAA, 17 Oktober – Ketua Turus Tentera Houthi, Muhammad Abd Al-Karim al-Ghamari, dilaporkan terbunuh ketika menjalankan tugas dalam serangan udara Israel di Yaman.
Walaupun tidak menyebut secara langsung pihak bertanggungjawab, Houthi menegaskan bahawa konflik dengan Israel belum berakhir dan rejim Zionis akan menerima hukuman balasan setimpal atas jenayah yang mereka lakukan.
Houthi menyifatkan kematian al-Ghamari sebahagian daripada perjuangan menentang pencerobohan Israel dan solidariti berterusan dengan rakyat Palestin di Gaza.
Pada Ogos lalu, Israel melancarkan siri serangan udara di Sanaa menyasarkan kepimpinan tertinggi Houthi yang mengakibatkan Perdana Menteri kerajaan Houthi dan beberapa menteri terbunuh.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengesahkan serangan terbaharu itu menyasarkan al-Ghamari dan mengancam akan melakukan tindakan sama terhadap mana-mana pihak yang dianggap ancaman.
Houthi sebelum ini melancarkan beberapa serangan peluru berpandu ke arah Israel sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza bagaimanapun kebanyakannya berjaya dipintas sistem pertahanan udara Israel.
Pemimpin tertinggi kumpulan itu, Abdul Malik al-Houthi, minggu lalu menegaskan bahawa Houthi akan memantau pematuhan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza, dan akan menyambung operasi ketenteraan sekiranya rejim Zionis terus melanggar perjanjian tersebut. - REUTERS