fb fb fb fb fb

WHO nilai semula status wabak cacar monyet

(FOTO REUTERS)

GENEVA, 7 Julai- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengumpulkan semula kumpulan pakarnya untuk memutuskan sama ada status jangkitan wabak cacar monyet yang semakin teruk telah berubah kepada kecemasan kesihatan awam global.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata beliau akan mengadakan mesyuarat kedua jawatankuasa kecemasan mengenai cacar monyet, setelah lebih 6,000 kes disahkan di 58 negara.

Lonjakan kes jangkitan dilaporkan sejak awal Mei di luar Afrika Barat dan Afrika Tengah, dua wilayah yang telah lama mengisytiharkan endemik penyakit itu.

"Saya terus bimbang dengan skala penularan virus itu," kata Tedros dalam sidang media di ibu pejabat WHO di sini.

"Ujian saringan masih dilihat sebagai cabaran besar dan berkemungkinan terdapat sejumlah besar kes yang tidak dapat dikesan," katanya.

(Tedros Adhanom Ghebreyesus/REUTERS)

Berita berkaitan
WHO gesa tindakan segera atasi cacar monyet di Eropah
Kanada rekod 278 kes cacar monyet
AS agih 56,000 dos vaksin cacar monyet

Pada 23 Jun, WHO membentuk jawatankuasa kecemasan yang dianggotai barisan pakar untuk memutuskan sama ada status penularan cacar monyet telah sampai ke tahap Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

Namun majoriti pakar mendapati keadaan masih belum melepasi ambang itu.

Eropah kini merupakan pusat jangkitan cacar monyet global dengan lebih 80% kes dilaporkan di rantau itu tahun ini. -AFP

Media Baharu