GENEVA, 15 Ogos - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengisytiharkan situasi mpox atau cacar monyet sebagai darurat kesihatan awam global kali kedua dalam tempoh dua tahun berikutan penularan jangkitan virus di Republik Demokratik Congo (DRC) yang telah merebak ke negara jiran.
Satu jawatankuasa kecemasan yang bermesyuarat pada Rabu telah menasihati Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus untuk mengisytiharkan wabak penyakit itu sebagai "kecemasan kesihatan awam kebimbangan antarabangsa," atau PHEIC.
Status PHEIC ialah tahap kewaspadaan tertinggi WHO, bertujuan untuk mempercepatkan penyelidikan, pembiayaan dan langkah serta kerjasama kesihatan awam antarabangsa untuk membendung sesuatu penyakit.
“Jelas bahawa tindak balas antarabangsa yang diselaraskan adalah penting untuk menghentikan wabak ini dan menyelamatkan nyawa,” kata Tedros.
"Pengesanan dan penyebaran pantas klad baru mpox di timur DRC, pengesanannya di negara jiran yang tidak pernah melaporkan mpox sebelum ini, dan potensi untuk merebak lebih jauh di Afrika dan seterusnya sangat membimbangkan," tambah Tedros.
Tedros berkata bagi membiayai usaha tersebut, pelan tindak balas WHO memerlukan AS$15 juta dan agensi itu merancang untuk merayu kepada penderma untuk mendapatkan pembiayaan.
WHO telah mengeluarkan pembiayaan awal sebanyak AS$1.5 juta dalam dana luar jangka dan merancang untuk mengeluarkan lebih banyak lagi dalam beberapa hari akan datang.
Sejak awal 2024, lebih 12 negara Afrika melaporkan jangkitan penyakit itu, dengan Congo mencatat lebih 90 peratus kes yang dilaporkan.
Cacar monyet menyebabkan ruam dan simptom seakan-akan selesema, menurut WHO.-REUTERS