fb fb fb fb fb

WHO gesa bantuan kemanusiaan segera untuk Gaza

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus/AFP

GENEVA, 11 Disember- Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan resolusi menggesa akses kemanusiaan segera dan tanpa halangan untuk menangani situasi kesihatan yang semakin buruk di Semenanjung Gaza.

Resolusi itu diluluskan sebulat suara oleh 34 anggota lembaga dalam sesi khas di Geneva, meskipun beberapa negara membangkitkan keraguan, terutama Amerika Syarikat.

Selain menyeru bantuan kemanusiaan segera, resolusi itu menuntut pemberian permit keluar untuk pesakit.

Resolusi itu bertujuan untuk membekalkan dan menambah semula ubat dan peralatan perubatan kepada penduduk awam dan memastikan akses kepada rawatan perubatan.
Ia dikemukakan oleh Afghanistan, Maghribi, Qatar dan Yaman.

Dalam ucapan pembukaan, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, sistem kesihatan di wilayah Palestin itu, hampir lumpuh.

Hanya 14 daripada 36 hospital yang berfungsi. Malah, penduduk berada di ambang kebuluran serta berdepan risiko penularan penyakit berjangkit.

Beliau turut menyelar kegagalan Majlis Keselamatan PBB meluluskan draf resolusi untuk gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.-AFP

ROSLINA BINTI DIN