fb fb fb fb fb

White House sifatkan rundingan hutang dengan Republikan produktif

(Joe Biden berucap di majlis ulang tahun pertama penembakan Sekolah Rendah Robb/REUTERS)

WASHINGTON, 26 Mei- White House menyifatkan rundingan terbaharu dengan blok Republikan untuk mengelak tragedi Amerika Syarikat gagal membayar hutang negara sebagai "produktif."

Penilaian optimis dibuat hanya seminggu sebelum anggaran "tarikh X" apabila kerajaan akan kehabisan wang jika Republikan yang mengawal Dewan Perwakilan tidak bersetuju untuk membenarkan lebih banyak pinjaman.

"Pasukan kami telah mengadakan perbincangan yang produktif," kata Setiausaha Akhbar Whitehouse Karine Jean-Pierre. "Jelas sekali ini bermakna masih ada jalan ke hadapan."

Jean-Pierre berkata pusingan terbaharu rundingan diadakan secara dalam talian pada awal Khamis. Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran tentang rundingan kedua-dua pihak dalam usaha mendapatkan sokongan Kongres yang berpecah hampir sama rata.

"Kedua-dua pihak perlu memahami bahawa kedua-dua pihak tidak akan mendapat semua yang mereka mahukan," katanya.

Republikan mendesak pemotongan perbelanjaan besar sebagai syarat untuk melanjutkan siling hutang AS.

Mereka mahu perbelanjaan kerajaan dipotong terlebih dahulu bagi mengurangkan hutang negara yang kini mencecah AS$31.8 trilion.

Presiden Joe Biden telah menolaknya dan menuduh Republikan mengugut ekonomi terbesar dunia dengan mendorongnya ke ambang kegagalan membayar hutang. -AFP


(Joe Biden bertemu dengan Kevin McCarthy dan Chuck Schumer di White House/Fail REUTERS)

Media Baharu