fb fb fb fb fb

Warga India ditahan seludup 44 ular berbisa dari Thailand

FOTO Kastam Mumbai

MUMBAI, 2 Jun- Seorang penumpang warga India ditahan selepas cuba menyeludup puluhan ular berbisa melalui Lapangan Terbang Mumbai, India, sebaik tiba dari Thailand.

Menurut kenyataan pihak Kastam Mumbai pada Ahad, sebanyak 44 ekor ular jenis Indonesian pit viper berjaya dirampas selepas disorokkan dalam bagasi berdaftar milik penumpang terbabit.

Turut dirampas, tiga ekor ular Spider-tailed horned viper dan lima ekor Asian leaf turtle, yang kesemuanya diletakkan dalam baldi plastik sebelum dimasukkan ke dalam beg bagasi.

Kastam Mumbai berkongsi beberapa gambar rampasan tersebut, termasuk ular berwarna biru dan kuning yang dilihat masih hidup dan aktif.

Identiti penumpang tidak didedahkan, namun dia kini telah ditahan bagi siasatan lanjut.

Kes sebegini jarang berlaku di Mumbai yang biasanya lebih terkenal dengan rampasan jongkong emas, wang tunai, ganja dan dadah lain yang diseludup masuk ke negara itu.

Bagaimanapun, Februari lalu, pegawai kastam Mumbai berjaya menahan seorang penyeludup dengan lima ekor siamang gibbon yang disorokkan dalam kotak plastik di dalam troli bagasinya.

Pada November tahun lalu, seorang lagi penumpang ditahan dengan 12 ekor kura-kura hidup manakala pada bulan sebelumnya, empat ekor burung enggang turut berjaya diseludup masuk dari Thailand.

Kejadian pada September pula menyaksikan dua penumpang ditahan kerana cuba membawa masuk lima ekor anak buaya caiman dari luar negara.

Pihak berkuasa kini meningkatkan kawalan di semua pintu masuk utama negara itu bagi memastikan kegiatan penyeludupan hidupan liar dapat dibanteras sepenuhnya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE