DHAKA, 2 Jun- Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, didakwa merancang serangan untuk menumpaskan pemberontakan menentang kerajaan beliau, kata pendakwa raya pada pembukaan perbicaraan hari Ahad.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sehingga 1,400 orang terkorban antara Julai hingga Ogos 2024 ketika kerajaan Hasina melancarkan operasi keras tersebut.
Hasina, 77 tahun, melarikan diri menggunakan helikopter ke India, sekutu lamanya, selepas pemberontakan pelajar menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun dan enggan mematuhi perintah ekstradisi untuk kembali ke Dhaka.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICT) tempatan sedang mendakwa pegawai kanan yang berkaitan dengan kerajaan Hasina yang digulingkan dan parti Awami League yang kini diharamkan.
Mohammad Tajul Islam, ketua pendakwa ICT, berkata dalam ucapan pembukaan bahawa siasatan mendapati ia adalah serangan yang tersusun dan sistematik.
"Tertuduh menggunakan semua agensi penguatkuasaan undang-undang dan anggota bersenjata parti untuk menumpaskan pemberontakan itu," katanya.
Hasina dan dua lagi pegawai didakwa atas tuduhan menghasut, membantu, berkomplot dan gagal menghalang pembunuhan beramai-ramai semasa pemberontakan Julai.
Hasina yang kini dalam buangan di India menafikan tuduhan itu dan menganggapnya bermotif politik.
Selain Hasina, bekas ketua polis Chowdhury Abdullah Al Mamun yang kini ditahan dan bekas menteri dalam negeri Asaduzzaman Khan Kamal yang turut melarikan diri, juga terlibat dalam kes tersebut.
Pendakwaan itu adalah tuntutan utama beberapa parti politik yang kini bersaing untuk kuasa, dengan kerajaan sementara berjanji mengadakan pilihan raya sebelum Jun 2026.
Perbicaraan disiarkan secara langsung di televisyen milik negara Bangladesh.
Siasatan mengumpul rakaman video, klip audio, perbualan telefon Hasina, rekod pergerakan helikopter dan dron, serta kenyataan mangsa operasi keras tersebut.
Pada 25 Mei lalu, mahkamah ICT memulakan perbicaraan pertama berkaitan kerajaan terdahulu membabitkan lapan pegawai polis atas tuduhan jenayah kemanusiaan kerana membunuh enam penunjuk perasaan pada 5 Ogos, hari Hasina melarikan diri.
Empat pegawai kini dalam tahanan, manakala empat lagi diadili secara tidak hadir.
ICT ditubuhkan oleh Hasina pada 2009 untuk menyiasat jenayah yang dilakukan oleh tentera Pakistan semasa perang kemerdekaan Bangladesh 1971.
Mahkamah ini juga menjatuhkan hukuman mati ke atas beberapa lawan politik utama dan sering dilihat sebagai alat Hasina untuk menyingkirkan musuh politik.
Awal Ahad, Mahkamah Agung memulihkan pendaftaran parti Islam terbesar, Jamaat-e-Islami, membolehkan parti itu bertanding dalam pilihan raya.
Hasina sebelum ini mengharamkan Jamaat-e-Islami dan menekan pemimpinnya.
Pada Mei lalu, kerajaan sementara Bangladesh mengharamkan Awami League sementara menunggu keputusan perbicaraan Hasina dan pemimpin lain.-AFP