fb fb fb fb fb

Warga Australia didakwa terbunuh di Ukraine masih hidup

Oscar Jenkins disahkan masih hidup dan kini dalam tahanan Rusia

CANBERRA, 29 Januari- Seorang warga Australia yang dilaporkan terbunuh selepas ditahan oleh tentera Rusia di Ukraine disahkan masih hidup, kata Menteri Luar Australia, Penny Wong, pada Rabu.

"Kerajaan Australia telah menerima pengesahan daripada Rusia bahawa Oscar Jenkins masih hidup dan berada dalam tahanan," katanya dalam satu kenyataan.

Namun begitu, Wong menegaskan bahawa kerajaan Australia masih mempunyai kebimbangan serius terhadap keadaan Jenkins sebagai tawanan perang.

Disember lalu, satu video tersebar menunjukkan Jenkins yang bertempur bersama pasukan Ukraine sedang disoal siasat dan ditampar oleh seorang lelaki yang bercakap dalam bahasa Rusia.

Kerajaan Australia mendesak Moscow supaya segera membebaskan Jenkins.

"Sekiranya Rusia gagal memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada Jenkins mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, tindak balas kami akan bersifat tegas dan tidak berbelah bahagi," tegas Wong.

Beliau juga mengingatkan bahawa Australia telah menyampaikan pendirian tegas kepada Rusia melalui saluran diplomatik di Canberra dan Moscow.

"Kami telah menjelaskan kepada Rusia bahawa Encik Jenkins adalah tawanan perang dan Rusia bertanggungjawab untuk melayannya mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk layanan yang berperikemanusiaan."

Wong turut mendedahkan bahawa beliau telah membincangkan perkara ini secara langsung dengan Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiga.

Sebelum ini, kerajaan Australia telah berusaha untuk mengesahkan laporan mengenai kematian Jenkins, yang tersebar awal bulan ini.

Wong berkata ketika itu bahawa beliau telah memanggil duta Rusia ke Australia untuk memberikan penjelasan, sambil memberi amaran bahawa "semua pilihan" akan dipertimbangkan dalam tindak balas kerajaan terhadap situasi ini.

Hubungan antara Canberra dan Moscow sememangnya tegang sejak sekian lama.

Australia menentang keras pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang bermula pada Februari 2022, mengutuknya sebagai satu tindakan tidak sah dan tidak bermoral.

Ketegangan juga meningkat sejak insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia di timur Ukraine pada Julai 2014. Tragedi itu mengorbankan 298 nyawa, termasuk 38 rakyat Australia.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE