MANDALAY, 31 Mac - Pasukan penyelamat China berjaya mengeluarkan seorang wanita hamil dari runtuhan bangunan di Mandalay pada pagi Isnin, lapor Xinhua.
Menurut ketua skuad China Search and Rescue Team, Yue Xin, operasi menyelamat itu melibatkan gabungan pasukan mereka bersama pasukan penyelamat awam RAMUNION RESCUE.
Sepanjang misi itu, pasukan penyelamat terpaksa berdepan dengan beberapa gegaran susulan.
Yue berkata, gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda Myanmar pada Jumaat lalu telah menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan tempat mangsa ditemukan.
"Kami berharap dapat membawa sinar harapan kepada lebih ramai mangsa di sini," katanya.
Pada hari yang sama, pasukan penyelamat China turut berjaya menyelamatkan seorang lagi mangsa di Mandalay.
Sebanyak 118 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Antarabangsa China (CISAR) tiba di Nay Pyi Taw pada malam Ahad.
Pasukan itu terdiri daripada pakar gempa bumi, jurutera struktur, anggota penyelamat, petugas perubatan serta unit anjing pengesan.
Mereka turut dilengkapi alat pengesan hayat, peralatan memotong dan sistem hospital lapangan.
CISAR, yang ditubuhkan pada 2001 merupakan pasukan penyelamat untuk tugas berat yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan telah terlibat dalam lebih 20 misi bantuan antarabangsa.
Sementara itu, kumpulan pertama bantuan kemanusiaan kecemasan dari China untuk mangsa gempa bumi Myanmar telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada pagi Isnin.
Susulan permintaan kerajaan Myanmar, China bersetuju untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai 100 juta yuan (US$13.9 juta) bagi menyokong usaha pemulihan selepas bencana.
Menurut Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China, bantuan awal yang dihantar merangkumi khemah, selimut dan kit pertolongan cemas. - BERNAMA