fb fb fb fb fb

Wakil Myanmar lawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh

(Foto AFP)

TEKNAF, 26 Mei- Satu pasukan mewakili kerajaan Myanmar melawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh, di sini, pada Khamis.

Ia dalam usaha memujuk mereka menyertai skim perintis penghantaran pulang yang dicadangkan.

Beberapa cubaan untuk menghantar pulang pelarian terbabit ke negara asal, gagal sebelum ini. Namun, Myanmar dan Bangladesh sedang berusaha untuk memindahkan semula kira-kira 1,100 warga Rohingya ke Rakhine.

Seorang wakil pelarian, Mohammad Selim berkata mereka enggan pulang. Ini berikutan kerajaan Myanmar tidak mahu memberi taraf kewarganegaraan, sebaliknya hanya kad pengesahan kebangsaan.

"Kami berkata bahawa kami perlu kembali ke rumah nenek moyang kami sendiri...Kami memberitahu, mereka harus memberi kami kewarganegaraan tetapi mereka memberikan kami kad pengesahan kebangsaan, yang bukan kewarganegaraan," kata Selim.

"Mereka berulang kali berkata begitu, tidak mungkin kita boleh mempercayai mereka. Kami tidak mempunyai wakil tetap dalam proses penghantaran pulang ini," kata Khin Maung, seorang pemimpin Rohingya yang terkenal, kepada AFP sebelum pertemuan itu.

"Proses penghantaran pulang ini hanya untuk mencuci mata. Jika mereka tidak menjamin maruah kita, tidak ada gunanya kembali menjadi pelarian di dalam negara (IDP)," katanya.

(Pasukan mewakili kerajaan Myanmar melawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh/Foto AFP)

Sementara itu, seorang Rohingya yang sepatutnya dihantar pulang dalam projek perintis memberitahu AFP, mereka tidak mahu pulang dan tinggal di Myanmar "sebagai bukan warganegara dan tinggal di kem IDP".

"Tempat kami harus diberikan semula kepada kami, hak kami untuk hidup seperti kumpulan etnik lain harus dijamin secara sah. Jika tidak, kami tidak boleh percaya pembunuh beramai-ramai," kata mereka.

Sementara itu, Mainul Kabir, ketua sayap Rohingya di kementerian luar Bangladesh, memberitahu penghantaran pulang adalah "satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu Rohingya".

Beliau berkata delegasi Myanmar "memberi jaminan bahawa kekeliruan yang sedang diwujudkan akan diselesaikan secara beransur-ansur".

Minggu lalu, Human Rights Watch mengkritik rancangan penghantaran pulang itu, dengan mengatakan ia menimbulkan "risiko besar" kepada Rohingya.

"Bangladesh kecewa dengan bebannya sebagai tuan rumah, tetapi menghantar pelarian kembali ke kawalan junta Myanmar yang kejam hanya akan menyediakan pentas untuk perpindahan penduduk yang dahsyat seterusnya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.-AFP

Media Baharu