fb fb fb fb fb

Buaya makan tuan

(FOTO HIASAN)

PNOM PENH, 26 Mei- Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam kandang yang dihuni kira-kira 40 ekor buaya.

Menurut laporan, kandang buaya tersebut adalah milik keluarga mangsa.

Lelaki berusia 72 tahun itu cuba mengeluarkan seekor buaya keluar dari sangkar tempat ia bertelur apabila reptilia itu menggigit kayu yang digunakan lelaki tersebut dan menariknya masuk ke dalam kandang.

Kumpulan utama reptilia kemudian menerpa lelaki itu, membaham tubuhnya dan meninggalkan kandang konkrit di ladang di Siem Reap dalam keadaan berlumuran darah.

"Ketika dia mengejar seekor buaya keluar dari sangkar bertelur, buaya itu menggigit kayu itu, menyebabkan dia terjatuh ke dalam kandang itu," kata Mey Savry, ketua polis komune Siem Reap, kepada AFP.

“Kemudian buaya lain menerkam, menyerangnya sehingga dia mati,” katanya sambil menambah saki-baki mayat lelaki itu dipenuhi kesan gigitan.

Katanya, salah satu lengan lelaki itu digigit dan ditelan buaya berkenaan.

Pada 2019, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dibunuh dan dimakan buaya apabila dia merayau ke ladang reptilia keluarganya di kampung yang sama, kata ketua polis.

Terdapat beberapa ladang buaya di sekitar Siem Reap, bandar pintu masuk ke runtuhan terkenal Angkor Wat.

Reptilia itu dipelihara untuk telur, kulit dan dagingnya.

Anak-anak buaya turut diperdagangkan, dengan mendatangkan hasil yang lumayan.-AFP


(FOTO HIASAN)

Media Baharu