(FOTO REUTERS)
SEOUL, 26 Mei- Seorang penumpang membuka pintu kecemasan dalam penerbangan Asiana Airlines ketika ia sedang bersiap untuk mendarat pada Jumaat, mengakibatkan beberapa penumpang dikejarkan ke hospital.
Syarikat penerbangan itu memberitahu AFP, pesawat itu bagaimanapun mendarat dengan selamat.
Pesawat Airbus A321-200 itu membawa hampir 200 penumpang ketika menghampiri landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu, kira-kira 240 kilometer (149 batu) tenggara Seoul.
Ketika pesawat masih berada kira-kira 200 meter (650 kaki) di atas tanah, seorang penumpang yang duduk berhampiran pintu keluar kecemasan membuka pintu secara manual dengan menyentuh tuil.
Ia menyebabkan beberapa penumpang mengalami kesukaran bernafas, dan beberapa orang telah dibawa ke hospital selepas mendarat, kata Asiana sambil menambah bahawa tiada kecederaan atau kerosakan besar.
Agensi Berita Yonhap Korea Selatan melaporkan bahawa sembilan orang telah dimasukkan ke hospital.
"Penumpang (suspek) itu telah dibawa ke polis dan sedang disoal siasat" untuk mengetahui punca mengapa dia bertindak membuka pintu kecemasan, kata Asiana.
Video pendek kejadian itu dikongsi oleh Yonhap.
Rakaman itu menunjukkan angin merobek pintu yang terbuka di udara, dengan kain sandaran tempat duduk dan rambut penumpang mengepak liar sambil beberapa orang penumpang menjerit ketakutan.
Satu lagi video yang dikongsi di media sosial menunjukkan penumpang duduk di barisan kecemasan di sebelah pintu terbuka ditiup angin kencang.-AFP
(Tangkap layar video pendek kejadian)