KHARTOUM, 30 Mei - Wabak taun di ibu kota Sudan semakin kritikal apabila 70 individu disahkan maut dalam masa dua hari.
Kementerian kesihatan Khartoum memaklumkan, sebanyak 942 jangkitan baharu dan 25 kematian direkodkan pada Rabu.
Peningkatan jangkitan berlaku beberapa minggu selepas serangan dron yang didakwa dari Pasukan Rapid Support Forces (RSF) sehingga menyebabkan bekalan air bersih dan elektrik terputus di seluruh ibu negara.
Bandar Khartoum telah menjadi medan pertempuran sepanjang dua tahun peperangan antara tentera Sudan dan RSF.
Konflik tersebut menyebabkan Khartoum musnah dengan infrastruktur kesihatan dan sanitasi hampir tidak berfungsi.
Sementara itu, Jurucakap ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric berkata, vaksin taun telah diedarkan di Jebel Awila, daerah yang paling teruk terjejas di Khartoum.
"Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah menghantar lebih 22 tan metrik ubat kolera dan bekalan kesihatan kecemasan untuk bertindak balas terhadap wabak itu," katanya.-AFP