fb fb fb fb fb

Korban di Gaza kini cecah lebih 54,000

Foto REUTERS

GAZA, 30 Mei-Jumlah kematian rakyat Palestin di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 54,249 orang, manakala 123,492 yang lain cedera sejak tercetusnya konflik antara Israel dan Hamas pada awal Oktober 2023.

Perkara itu diumumkan pihak berkuasa kesihatan Hamas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis

Menurut kenyataan tersebut, sejak Israel menyambung semula serangan udara secara intensif pada 18 Mac, sekurang-kurangnya 3,986 rakyat Palestin telah terbunuh dan 11,451 lagi cedera dalam tempoh berkenaan.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, serangan Israel telah menyebabkan 67 rakyat Palestin terbunuh dan 179 lagi cedera, menurut laporan pihak berkuasa kesihatan dan pertahanan awam Gaza.

Pada Khamis, sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin terbunuh dalam siri serangan udara yang dilancarkan oleh Israel ke atas Bandar Gaza dan kawasan tengah Gaza, menurut sumber tempatan.

Salah satu serangan paling dahsyat berlaku apabila sebuah dron Israel menyasarkan sekumpulan orang di persimpangan al-Saraya yang merupakan persimpangan paling sibuk di pusat Bandar Gaza.

Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera, menurut saksi dan sumber perubatan tempatan.

Menurut kenyataan Hamas, serangan tersebut menyasarkan beberapa anggotanya yang sedang menangani kumpulan pencuri, menyebabkan kematian beberapa anggota polis dan orang awam yang berada di lokasi.

Dalam serangan berasingan pada hari yang sama, pesawat tempur Israel melepaskan dua peluru berpandu ke arah sebuah rumah milik keluarga al-Qarnawi di timur kem pelarian al-Bureij.

Serangan itu telah memusnahkan rumah tersebut bersama penghuninya, selain menyebabkan kerosakan besar kepada rumah-rumah berdekatan.

Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmoud Basal, mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala beberapa yang lain turut cedera.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka telah melancarkan serangan ke atas pelbagai sasaran di seluruh Gaza dalam tempoh 24 jam terakhir.

Sasaran tersebut termasuk struktur ketenteraan, pos pemerhati, pos penembak tepat, terowong dan tapak infrastruktur lain.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD