fb fb fb fb fb

Jalisco perkenal Tesla Cybertruck untuk Piala Dunia 2026

FOTO AFP

GUADALAJARA, 30 Mei- Kerajaan Negeri Jalisco, Mexico, memperkenalkan tiga unit Tesla Cybertruck sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan baharu menjelang Piala Dunia FIFA 2026.

Kenderaan elektrik berperisai itu akan digunakan sebagai pusat komando bergerak (C2) untuk operasi risikan, pemantauan dan tindak balas kecemasan di kawasan tumpuan pelancong seperti Guadalajara, Puerto Vallarta dan Tequila.

Setiausaha Keselamatan Negeri Jalisco, Juan Pablo Hernandez, berkata penggunaan Tesla Cybertrucks adalah langkah ke hadapan dalam memastikan penggunaan teknologi terbaik di dunia, terutama menjelang Piala Dunia yang akan berlangsung tahun depan.

"Kami perlu sentiasa berada di barisan hadapan dengan teknologi terbaik yang ada di planet ini, terutamanya dengan kehadiran Piala Dunia tahun depan," katanya ketika sesi pembentangan kenderaan keselamatan baharu itu kepada orang ramai.

Katanya lagi, ketiga-tiga Cybertruck tersebut telah diubah suai dengan balutan hitam matte serta dilengkapi lampu kecemasan merah dan biru.

Kenderaan itu juga dilengkapi dengan sambungan internet satelit Starlink, membolehkan operasi komunikasi dan risikan dijalankan walaupun di kawasan terpencil.

Pelaburan tersebut adalah sebahagian daripada perolehan 678 kenderaan keselamatan baharu, termasuk trak pikap Super Duty, unit berperisai Black Mamba, dan motosikal, dengan kos keseluruhan sekitar 988 juta peso.

Langkah berkenaan bertujuan untuk meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang dan memperkukuh persepsi keselamatan awam menjelang kehadiran lebih lima juta pelawat semasa Piala Dunia.

Walaupun terdapat kritikan mengenai kos tinggi kenderaan tersebut, pihak berkuasa menegaskan bahawa ia adalah perlu untuk memastikan keselamatan dan imej moden Jalisco sebagai tuan rumah Piala Dunia.

Kedutaan Amerika Syarikat di Mexico turut memuji inisiatif tersebut sebagai langkah berani ke arah inovasi dalam keselamatan awam.

Dengan pelaksanaan strategi keselamatan ini, Jalisco bersedia untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk serta pelawat semasa acara sukan terbesar dunia itu.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE