LISBON, 30 Mei – Luis Montenegro dilantik semula sebagai Perdana Menteri Portugal pada Khamis selepas pilihan raya mengejut, namun beliau perlu membentuk kerajaan pakatan atau kerajaan minoriti kerana tiada parti yang menang majoriti.
Pelantikan beliau dibuat oleh Presiden Marcelo Rebelo de Sousa, sehari selepas keputusan rasmi menunjukkan parti berhaluan kanan, Chega, menduduki tempat kedua.
Presiden Portugal berkata beliau telah berunding dengan parti-parti utama sebelum melantik Montenegro dan mahu memastikan kestabilan selepas negara itu mengadakan tiga pilihan raya dalam masa tiga tahun.
Ini memberi cabaran awal kepada Montenegro, yang telah menolak kerjasama dengan Chega.
Parti Chega yang ditubuhkan pada 2019 oleh Ventura, seorang bekas pelatih paderi dan pengulas sukan, terus menunjukkan peningkatan sokongan dalam setiap pilihan raya.
Pemimpin Chega, Andre Ventura, mahu Montenegro menolak Parti Sosialis dan berkata keputusan pilihan raya menunjukkan perubahan besar dalam politik Portugal.
Dalam pada itu, Montenegro berkata beliau tidak akan membuat perjanjian rasmi jangka panjang dengan mana-mana parti, tetapi tetap akan berbincang dengan semua parti politik.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan terus menjalankan tugasnya.
Parti Demokratik Sosial yang diketuai Montenegro ialah parti utama dalam gabungan Perikatan Demokratik, yang mendapat 91 kerusi dan masih kurang 25 kerusi daripada jumlah 116 yang diperlukan untuk majoriti.
Pilihan raya mengejut ini berlaku selepas Montenegro hilang sokongan di parlimen kerana dakwaan konflik kepentingan berkaitan syarikat keluarganya.
Keputusan pilihan raya menunjukkan peralihan politik ke arah haluan kanan, dengan Parti Sosialis jatuh ke tempat ketiga dan hanya menang 58 kerusi.
Terdahulu,Ketua Parti Sosialis, Pedro Nuno Santos, meletak jawatan selepas kekalahan itu. Penggantinya, Jose Luis Carneiro, berkata partinya akan bekerjasama dengan kerajaan baharu.-AFP.