fb fb fb fb fb

Houthi dakwa lancar peluru berpandu ke Lapangan Terbang Israel

Jurucakap kumpulan Houthi, Yahya Saree/ Foto REUTERS

SANAA, 30 Mei – Kumpulan Houthi di Yaman pada Khamis mendakwa telah melancarkan peluru berpandu ke arah Lapangan Terbang Ben Gurion, Israel.

Jurucakap tentera kumpulan itu, Yahya Saree, berkata serangan tersebut mencapai matlamat mereka apabila rakyat Israel terpaksa berlindung di tempat perlindungan dan kawalan trafik udara di lapangan terbang terhenti seketika.

Bagaimanapun, tentera Israel menyatakan dalam satu hantaran di Telegram bahawa peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman telah dipintas.

Serangan tersebut berlaku sehari selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran Houthi, termasuk kapal terbang terakhir milik kumpulan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa.

Serangan Israel dibuat sebagai tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu oleh Houthi sehari sebelumnya.

Sejak perang di Gaza meletus pada Oktober 2023, Houthi telah beberapa kali melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta kapal-kapal di Laut Merah, yang menurut mereka sebagai tindakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Namun, kebanyakan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan telah dipintas atau tidak sampai ke sasaran, dan Israel pula telah membalas dengan beberapa siri serangan balas udara ke atas wilayah Houthi.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD