SALDANHA BAY, 30 Mei- Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Afrika Selatan pada Khamis kerana menculik dan menjual anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Joshlin Smith dilaporkan hilang pada Februari tahun lalu dari rumahnya di Saldanha Bay, sebuah bandar nelayan kira-kira 135 kilometer dari Cape Town, dan sehingga kini masih belum ditemui.
Ibunya, Racquel “Kelly” Smith, didapati bersalah menculik dan menjual anaknya yang masih kecil itu, dipercayai dengan harga 20,000 rand.
Hakim Nathan Erasmus memerintahkan agar Smith, 35, bersama teman lelaki dan seorang rakan mereka turut dijatuhi hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan pemerdagangan manusia.
Mereka turut dijatuhi hukuman 10 tahun penjara secara serentak bagi kesalahan menculik.
“Saya juga memerintahkan nama anda didaftarkan dalam daftar perlindungan kanak-kanak,” kata Erasmus ketika membacakan keputusan.
“Tiada apa yang dapat saya lihat yang boleh menjadi alasan untuk menjatuhkan hukuman yang lebih ringan daripada yang paling berat,” katanya lagi.
Smith yang hadir di mahkamah kelihatan tidak menunjukkan sebarang reaksi sepanjang prosiding yang berlangsung selama sejam itu.
Hakim turut menyifatkan ibu kepada tiga orang anak itu sebagai seorang yang manipulatif dan tidak menunjukkan sebarang penyesalan atau rasa prihatin terhadap kehilangan anaknya.
Keputusan tersebut disambut dengan sorakan dalam mahkamah. Turut hadir ialah nenek kepada Joshlin yang memakai kemeja putih dengan gambar cucunya tertera di hadapan.
Smith pada awalnya menjadi tumpuan simpati apabila anaknya dilaporkan hilang, mencetuskan operasi pencarian besar-besaran di seluruh negara.
Gambar Joshlin yang memiliki mata hijau yang menonjol, senyuman lebar dan rambut perang diikat jalin menjadi tular di internet.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian menteri yang menawarkan ganjaran sejuta rand untuk kepulangan Joshlin dalam keadaan selamat.
Namun, keadaan berubah apabila pihak pendakwa mendakwa Smith menjual anaknya kepada seorang pengamal rawatan tradisional yang dikatakan tertarik dengan kulit cerah dan matanya yang cantik.
Hakim bagaimanapun tidak mendedahkan dalam keputusannya kepada siapa atau mengapa kanak-kanak itu dijual.
Antara saksi perbicaraan yang bermula pada Mac lalu termasuk seorang guru dan seorang paderi yang memberitahu mahkamah bahawa Smith telah memaklumkan kepadanya mengenai rancangan untuk menjual anaknya pada tahun 2023.
Pihak polis pada Khamis memaklumkan operasi pencarian kini diperluaskan sehingga ke luar sempadan Afrika Selatan.
Afrika Selatan mempunyai kadar jenayah antara tertinggi di dunia, dengan penculikan kanak-kanak semakin meningkat.
Statistik polis menunjukkan terdapat lebih 17,000 kes penculikan pada tahun kewangan 2023/2024, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya. Namun, data berkenaan tidak menyatakan usia mangsa yang terlibat.-AFP