PYONGYANG, 30 Mei- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mempengerusikan mesyuarat parti mengenai usaha memperkukuh angkatan tentera dan turut meninjau latihan artileri, lapor agensi berita rasmi KCNA pada Jumaat sambil berkongsi beberapa gambar daripada acara tersebut.
Menurut KCNA, mesyuarat parti itu berlangsung pada Rabu, manakala latihan artileri dipantau Kim semalam.
Dalam mesyuarat Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Ke-8 Parti Pekerja Korea itu, Kim menekankan kepentingan peranan organisasi parti dalam melaksanakan langkah-langkah yang digariskan kepimpinan pusat bagi menangani semua masalah berkaitan pembinaan angkatan tentera dan aktiviti ketenteraan.
Kim turut menekankan kepentingan kekerapan mengadakan pertandingan menembak yang menyerupai suasana peperangan sebenar sebagai usaha membina kekuatan angkatan tentera yang kukuh, lapor KCNA.
Ia merupakan langkah terbaharu daripada beberapa siri tindakan Kim yang dilaporkan KCNA dalam beberapa minggu kebelakangan ini, semuanya tertumpu kepada pengukuhan ketenteraan negara tersebut.-REUTERS