fb fb fb fb fb

Pilihan raya Presiden: Lee Jae-myung mendahului tinjauan, isu demokrasi jadi tumpuan

Foto AFP

SEOUL, 30 Mei – Rakyat Korea Selatan hari ini keluar mengundi untuk memilih presiden baharu susulan pemecatan bekas presiden Yoon Suk Yeol yang mengisytiharkan undang-undang tentera.

Negara itu sedang berusaha keluar daripada krisis politik berpanjangan yang menyaksikan beberapa pemangku presiden mentadbir sejak pemecatan Yoon. Ketidaktentuan politik tersebut turut menjejaskan ekonomi Korea Selatan yang kini berdepan masalah perdagangan serta permintaan domestik yang lemah.

Calon Presiden Parti Liberal, Lee Jae-myung kini mendahului dalam semua tinjauan pendapat dengan meraih 49 peratus sokongan, manakala pencabarnya, Kim Moon-soo dari parti konservatif, mendapat 35 peratus.

Pilihan raya rasmi dijadualkan berlangsung pada 3 Jun, namun rakyat diberi pilihan untuk mengundi lebih awal pada 30 dan 31 Mei.

Setakat ini, kira-kira 21 peratus daripada 44.4 juta pengundi telah keluar mengundi, sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah undian awal. Pengundian luar negara turut mencatat rekod dengan 80 peratus daripada hampir dua juta pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, penganalisis melihat isu undang-undang tentera sebagai faktor utama dalam pilihan raya ini.

Ramai pengundi, termasuk rakyat Korea di luar negara, mahu memulihkan demokrasi negara.

Calon liberal, Lee berjanji akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba menggugat sistem demokrasi negara itu.

Namun, beberapa penganalisis memberi amaran bahawa krisis politik mungkin berulang sekiranya Lee tidak memimpin secara terbuka dan inklusif kerana beliau turut dianggap sebagai salah satu tokoh yang menyumbang kepada polarisasi politik di Korea Selatan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD