WASHINGTON, 30 Mei-Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyambut baik keputusan mahkamah rayuan yang mengekalkan tarif import besar-besaran yang dikenakan ke atas China dan negara lain buat sementara waktu.
Keputusan berkenaan memberi ruang kepada proses rayuan selepas Mahkamah Perdagangan Antarabangsa sebelum ini menghalang kebanyakan tarif yang diumumkan sejak Trump menjadi presiden, dengan alasan beliau telah melampaui kuasa yang diberikan.
Trump mengecam keputusan mahkamah berkenaan dan menyifatkannya sebagai "teruk" dan mahu keputusannya dibatalkan segera.
Dalam satu kenyataan di Truth Social, beliau mendakwa dirinya menjadi mangsa sistem kehakiman yang berat sebelah dan berkata “perompak dalam bilik belakang” tidak sepatutnya dibenarkan merosakkan negara.
Mahkamah rayuan memberikan “penangguhan pentadbiran” terhadap keputusan sebelum ini, yang sepatutnya memberi masa 10 hari kepada White House untuk menghentikan tarif yang terlibat.
Kerajaan Amerika Syarikat menyifatkan keputusan itu “jelas salah” dan yakin ia akan dibatalkan dalam rayuan.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt, menuduh hakim menyalahgunakan kuasa dan mendesak Mahkamah Agung untuk campur tangan.
Sementara itu, satu lagi mahkamah persekutuan di Washington turut memutuskan sebahagian tarif Trump sebagai tidak sah dan memberi 14 hari untuk membuat rayuan.
Penasihat ekonomi Trump, Kevin Hassett, berkata gangguan kecil (“hiccups”) daripada keputusan mahkamah tidak akan menjejaskan rundingan perdagangan yang sedang berjalan, dengan tiga perjanjian hampir dimuktamadkan.
Penasihat perdagangan Trump, Peter Navarro, berkata negara-negara yang terlibat masih mahu berunding secara baik.
Tarif yang dikenakan bertujuan menghukum negara yang menjual lebih banyak kepada AS daripada apa yang mereka beli.
Trump mendakwa defisit perdagangan dan ancaman penyeludupan dadah merupakan “kecemasan negara” yang membolehkan beliau mengenakan tarif meluas. Namun, Mahkamah Perdagangan Antarabangsa menolak hujah itu.
Tarif yang diumumkan merangkumi hampir semua rakan dagang, bermula pada kadar asas 10%, dan lebih tinggi bagi negara seperti China dan Kesatuan Eropah.
Mahkamah membatalkan tarif besar-besaran ini, termasuk yang dikenakan ke atas Kanada, Mexico, dan China, tetapi mengekalkan tarif 25% terhadap import kereta, keluli, dan aluminium.
China menggesa AS membatalkan semua tarif sepenuhnya dan mendengar suara antarabangsa yang menolak langkah unilateral itu.
Tindakan tersebut telah menyebablan pasaran Asia melonjak, indeks AS ditutup tinggi, manakala Eropah sedikit menurun.
Kes berkenaan timbul daripada dua tuntutan undang-undang — satu daripada perniagaan dan satu lagi dari gabungan kerajaan negeri — yang mendakwa Trump melanggar kuasa perbelanjaan Kongres.
Mahkamah menyatakan bahawa undang-undang kuasa kecemasan (IEEPA) tidak memberikan kuasa tanpa had kepada presiden untuk mengenakan tarif kepada hampir semua negara.
Trump memberi amaran bahawa jika beliau perlu merujuk kepada Kongres untuk tarif, ahli politik di Washington hanya akan membuang masa dan gagal melindungi ekonomi negara.
Penganalisis percaya kes itu mungkin akan dibawa ke Mahkamah Agung, tetapi ia mungkin bukan penamat kepada perang tarif yang sedang berlaku.-AFP