CIUDAD VICTORIA, 30 Mei-Lima ahli kumpulan muzik Fugitivo dari Mexico dipercayai dibunuh selepas diculik oleh ahli kartel dadah ketika mereka membuat persembahan di bandar Reynosa, negeri Tamaulipas, berhampiran sempadan Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa mengesahkan penahanan sembilan suspek yang dipercayai anggota Kartel Teluk (Gulf Cartel) dan terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Mereka turut merampas sembilan senjata api dan dua buah kenderaan.
Mayat kesemua mangsa yang berumur antara 20 hingga 40 tahun ditemui selepas siasatan dijalankan menggunakan rakaman kamera litar tertutup dan penjejakan telefon bimbit.
Mangsa dipercayai telah diculik pada malam Ahad ketika mereka dalam perjalanan menaiki kenderaan menuju ke satu acara peribadi.
Keluarga mangsa berkata mereka menerima tuntutan wang tebusan, dan telah mengadakan protes mendesak tindakan pantas daripada pihak berkuasa.
Tamaulipas merupakan antara negeri paling berbahaya di Mexico, dengan kegiatan jenayah termasuk penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, dan pemerasan yang berleluasa.
Sejak 2006, lebih 480,000 nyawa telah terkorban akibat keganasan jenayah di Mexico, manakala kira-kira 120,000 orang dilaporkan hilang.
Artis muzik di Mexico sering menjadi sasaran kumpulan jenayah yang mengupah mereka untuk mencipta dan menyanyikan lagu-lagu yang memuja ketua kartel.
Ini menyebabkan mereka berisiko tinggi terperangkap dalam perebutan kuasa antara kumpulan jenayah.
Pada tahun 2013, 17 ahli kumpulan Kombo Kolombia dibunuh di negeri Nuevo Leon kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kartel pesaing.
Awal tahun ini, risalah berunsur ugutan dijatuhkan dari pesawat di sebuah bandar barat laut, menyasarkan 20 artis dan personaliti media sosial.
Susulan populariti lagu “narcocorrido” yang memuliakan jenayah, Presiden Claudia Sheinbaum melancarkan pertandingan muzik bagi mewujudkan naratif baharu mengelak masyarakat daripada budaya keganasan.
Beberapa negeri di Mexico turut mengharamkan genre muzik ini, namun larangan itu mencetuskan rusuhan baru-baru ini apabila seorang penyanyi enggan menyanyikan lagu-lagu terkenalnya.-AFP.