fb fb fb fb fb

Wabak demam campak meningkat di Bolivia

Kempen vaksinasi campak kini giat dijalankan di Bolivia - Viory

SANTA CRUZ, 15 Julai – Pihak berkuasa Bolivia mempergiat kempen vaksinasi campak terutama kalangan kanak-kanak, susulan peningkatan kes yang membimbangkan di seluruh negara.

Penyakit berkenaan dilaporkan merebak pantas di tujuh daripada sembilan bahagian Bolivia dengan lebih 100 kes dilaporkan dan Santa Cruz, kawasan yang paling terjejas.

Pemberian vaksin kini giat dilakukan di pusat-pusat perubatan dan sekolah.

1507 LNR BOLIVIA DILANDA WABAK CAMPAK 2Lebih 100 kes demam campak dilaporkan di Bolivia - Viory

Jurucakap Jabatan Kesihatan Santa Cruz, Pedro Flores, memaklumkan lebih separuh daripada kes yang disahkan melibatkan individu bawah umur 20 tahun.

"Setakat ini, kami mengesahkan 43 kes demam campak dan 438 kes disyaki campak," katanya.

Kerajaan Bolivia juga menerima sumbangan lebih setengah juta dos vaksin daripada negara jiran, Brazil, untuk memerangi demam campak serta penyakit berjangkit lain.

“Hari ini, vaksinasi diperluas kepada kanak-kanak sehingga umur 10 tahun. Berdasarkan sumbangan baharu dari Brazil, kami akan mula memberikan vaksin kepada kanak-kanak sehingga umur 14 tahun yang merangkumi keseluruhan kumpulan usia pediatrik,” tambah Flores.

Pihak berkuasa kesihatan turut menggesa ibu bapa supaya segera membawa anak-anak mereka mendapatkan vaksin.

1507 LNR BOLIVIA DILANDA WABAK CAMPAK 3Lebih 24,000 individu telah divaksinasi - Viory

Sejak kempen vaksinasi dimulakan, lebih 24,000 individu telah menerima suntikan.

Terdahulu, Bolivia telah mengisytiharkan darurat kesihatan negara bagi menangani penularan wabak demam campak

Presidennya, Luis Arce, dalam satu ucapan menyifatkan wabak campak sebagai “jauh lebih dahsyat daripada COVID-19,” dan menyeru semua ibu bapa agar tidak berlengah mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka.

Demam campak adalah penyakit virus yang sangat mudah berjangkit melalui udara, dan lazimnya menjangkiti kanak-kanak, namun golongan dewasa yang tidak divaksin turut berisiko.

Gejala campak termasuk demam, hidung berair, batuk, mata merah berair, serta ruam kulit. - VIORY

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK