QUITO, 15 Julai – Hampir 400,000 penduduk kini berdepan gangguan bekalan air serius susulan kejadian tanah runtuh di kawasan La Mica, di sini yang merosakkan saluran paip air.
Pihak berkuasa tempatan kini bertungkus-lumus membaiki kerosakan paip berkenaan dan menyediakan bekalan air kepada penduduk menggunakan lori tangki.
Kejadian tanah runtuh serta paip pecah itu menjejaskan bekalan air di enam kawasan dan memaksa pihak perbandaran Quito mengisytiharkan darurat.
Pihak berkuasa tempatan terpaksa mengisytiharkan darurat - Viory
"Kami berdepan salah satu kecemasan terbesar dalam sejarah akibat tanah runtuh. Pasukan kami sedang melakukan kerja-kerja pembaikan dengan lebih 100 petugas di lokasi," kata Fernando Pavon, pentadbir kawasan Eloy Alfaro.
Susulan itu, pihak berkuasa melancarkan pelan agihan air kecemasan dan menghantar lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas.
Namun, penduduk tempatan menyuarakan rasa tidak puas kerana agihan bekalan air yang lewat.
"Lori bekalan air tiba tidak menentu masa dan adakala tiba ketika kami tiada di rumah hingga kami tiada bekalan air langsung. Ia sangat mengecewakan. Jadual agihan air sepatutnya lebih teratur," kata Miriam Pineda.
Sementara itu, setakat Isnin usaha pembaikan kerosakan masih giat dijalankan dan dijangka mengambil masa sehingga sepuluh hari untuk pulih. - VIORY