fb fb fb fb fb

Gelombang haba tambah derita penduduk Gaza

Gelombang haba melampau kini mengancam nyawa penduduk Gaza - Foto AFP

GAZA, 15 Julai - Cuaca panas melampau yang kini melanda Gaza, menambah penderitaan lebih 1.7 juta rakyat Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan susulan kekurangan bekalan asas serta rawatan perubatan akibat kekejaman Israel.

Petugas kesihatan melaporkan situasi itu mengancam nyawa ribuan pesakit yang ditempatkan dalam khemah yang sesak dan panas.

1507 LNR GAZA DIANCAM CUACA PANAS 1Kekurangan kemudahan asas dan kesihatan memburukkan keadaan di Gaza - Foto AFP

Mohammed Al-Mamlouka, seorang mangsa yang cedera akibat seragan Israel, terpaksa menanggung kesakitan setiap kali lukanya dicuci dan dibalut semula.

"Kesakitan ketika musim panas memang tidak tertanggung. Jika musim sejuk, saya boleh tahan dan boleh tidur selepas makan ubat. Namun sekarang saya perlukan dos ubat lebih tinggi, tetapi hospital tiada stok ubat. Dalam khemah ini, tiada kipas, tiada rawatan sewajarnya," katanya.

Seorang lagi pesakit, Ahmad Awad, yang cedera parah di kaki berkata, khemah panas menyukarkan pemulihannya.

"Saya rasa panas sangat dan tidak selesa, hingga terpaksa garu kaki yang menyebabkannya luka. Khemah ini juga terlalu kecil untuk saya dan anak-anak," katanya.

Sementara itu, Dr. Haya Salman berkata, suhu panas mengakibatkan pesakit berpeluh dan ia mempercepat pertumbuhan bakteria, namun pihak hospital tidak dapat menanganinya kerana kekurangan peralatan serta ruang rawatan khusus.

Konflik di Gaza mengakibatkan kemudahan asas serta kesihatan terjejas dan keadaan itu diburukkan lagi dengan sekatan bantuan berterusan yang dikenakan rejim Israel. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK