APURE, 15 Julai – Sebuah jambatan sepanjang 40 meter di sempadan Venezuela-Colombia, di sini dilaporkan runtuh lewat malam Ahad lalu akibat hujan lebat.
Pihak berkuasa terpaksa menutup sepenuhnya laluan tersebut, menyebabkan penduduk terkandas.
Antara kawasan terjejas adalah Bruzual dan Mantecal.
Lebih 5,000 keluarga di Apure dilaporkan terjejas akibat hujan berterusan sejak akhir Jun lalu - Viory
Menteri Pengangkutan Venezuela, Ramon Velasquez berkata, pasukan kecemasan kini melakukan kerja-kerja memasang jambatan sementara atas arahan Presiden Nicolas Maduro.
Beliau berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan susulan insiden runtuhan jambatan itu.
Lebih 5,000 keluarga di Apure dilaporkan terjejas akibat hujan berterusan sejak akhir Jun lalu.
Beberapa kawasan lain turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, termasuk Amazonas, Delta Amacuro, Monagas, serta kawasan barat Venezuela seperti Barinas, Tachira, dan Merida.
Pada 25 Jun lalu, sebuah jambatan turut dilaporkan runtuh di lebuh raya Jose Antonio Paez yang menghubungkan Andes ke bahagian tengah negara, akibat hujan lebat. - VIORY