BEIJING, 15 Julai – China melancarkan kapal angkasa kargo Tianzhou-9, awal pagi Selasa bagi menghantar bekalan ke Stesen Angkasa Tiangong, menurut Agensi Angkasa Berawak China (CMSA).
Roket Long March-7 Y10 yang membawa Tianzhou-9 dilancarkan tepat pada pukul 5.34 pagi waktu Beijing dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di wilayah pulau selatan Hainan.
Kira-kira 10 minit selepas pelancaran, Tianzhou-9 berjaya dipisahkan daripada roket dan memasuki orbit yang ditetapkan. Panel surianya turut berjaya dikembangkan.
CMSA mengisytiharkan pelancaran itu sebagai satu kejayaan.
Kapal kargo tersebut dijadualkan untuk menjalani proses pertemuan dengan kombinasi modul Stesen Angkasa Tiangong dalam masa terdekat.
Selepas itu, kru Shenzhou-20, yang telah tiba di stesen angkasa pada 24 April lalu akan memasuki kapal kargo tersebut untuk memindahkan bekalan mengikut jadual.
Tianzhou-9 membawa kira-kira 6.5 tan bekalan ke orbit, termasuk bahan sokongan hayat untuk kru Shenzhou-20 dan Shenzhou-21, dua set baharu sut angkasa Feitian bagi aktiviti luar kenderaan (EVA), peranti senaman otot teras, serta muatan saintifik berkaitan perubatan angkasa dan bidang eksperimen lain.
Misi ini merupakan penerbangan keempat dalam siri penghantaran bekalan ke stesen angkasa sejak program angkasa berawak China memasuki fasa aplikasi dan pembangunan.
Ia juga menandakan misi ke-584 bagi siri roket Long March. -REUTERS