fb fb fb fb fb

Vietnam, AS setuju percepat rundingan perdagangan

Foto hiasan/ REUTERS

HANOI, 5 Jun- Vietnam dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju mempercepat rundingan perdagangan dan mengumumkan perjanjian pembelian produk pertanian Amerika Syarikat bernilai AS$600 juta.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Vietnam, pegawai Vietnam dan AS bersetuju dalam mesyuarat di Paris pada Rabu untuk memfokuskan usaha maksimum bagi mencapai keputusan terbaik dalam pusingan rundingan teknikal ketiga yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun.

Menteri Perdagangan Vietnam, Nguyen Hong Dien, menegaskan komitmen Vietnam untuk mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat. Manakala, rakan sejawatannya dari AS, Jamieson Greer, berkata perjanjian itu penting bukan hanya untuk Washington, tetapi juga untuk Hanoi.

Sementara itu, delegasi dari Kementerian Pertanian Vietnam yang melawat Amerika Syarikat menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membeli bahan mentah bagi makanan haiwan dari Ohio bernilai AS$600 juta, menurut kenyataan kementerian di laman web rasminya pada Khamis.

Ia selepas Vietnam mengumumkan lima MoU untuk membeli produk bernilai kira-kira AS$800 juta dari Iowa dalam tempoh tiga tahun, termasuk makanan soya, jagung, gandum dan bahan kering.

Tambah kenyataan itu, negara itu dijangka menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat untuk pembelian produk pertanian bernilai lebih AS$2 bilion secara keseluruhan.

Vietnam turut mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan isu tarif daripada beberapa syarikat teknologi dan industri besar Amerika seperti Lockheed Martin, SpaceX dan Google.

Selain itu, Vietnam telah menandatangani perjanjian dengan syarikat AS Westinghouse Electric bagi pembangunan tenaga nuklear.

Kumpulan hartanah milik Trump memulakan projek peranginan mewah dan padang golf bernilai AS$1.5 bilion bulan lalu di Vietnam, 40 kilometer dari tenggara ibu kota Hanoi.

Vietnam mencatatkan lebihan dagangan ketiga terbesar dengan Amerika Syarikat selepas China dan Mexico dan berhasrat menangani ketidakseimbangan tersebut bagi mengelakkan cukai 46 peratus oleh Presiden Donald Trump dalam kempen tarif globalnya.-AFP

ROSLINA BINTI DIN