PARIS, 5 Jun- Kumpulan pengguna Eropah mengemukakan aduan terhadap platform e-dagang Shein kepada Suruhanjaya Eropah dengan mendakwa syarikat yang diasaskan di China itu menggunakan teknik yang mengelirukan dan menyalahi undang-undang yang menyebabkan pembelian berlebihan.
Organisasi Pengguna Eropah (BEUC), bersama 25 ahli dari 21 negara, mendakwa Shein menggunakan taktik yang dikenali sebagai “dark patterns" atau taktik reka bentuk laman web yang secara halus memaksa pengguna membeli lebih daripada yang mereka inginkan.
"Amalan itu bukan sahaja merugikan pengguna, tetapi turut menyumbang kepada masalah alam sekitar dan sosial yang berkaitan dengan industri fesyen (fast fashion)", katanya.
Aduan tersebut juga bertujuan melengkapkan siasatan sedia ada oleh Suruhanjaya Eropah terhadap Shein.
Pada akhir Mei, pengawal selia EU memberi amaran kepada Shein berhubung beberapa pelanggaran undang-undang pengguna, termasuk tawaran diskaun palsu dan maklumat produk yang mengelirukan.
Shein juga diberi tempoh sebulan untuk memberikan maklum balas bagi menangani isu-isu yang dikenal pasti sejak siasatan dimulakan pada Februari lalu.
Syarikat itu berdepan risiko dikenakan denda, sekiranya gagal menangani kebimbangan EU.
Sementara itu, Shein menerusi kenyataan berkata bahawa pengguna Eropah akan mendapat manfaat, sekiranya BEUC bersetuju untuk bertemu dengan pihaknya.
Syarikat tersebut, yang berasal dari China dan kini beribu pejabat di Singapura, menambah bahawa ia sedang bekerjasama secara konstruktif dengan pihak berkuasa perlindungan pengguna negara anggota dan Suruhanjaya Eropah bagi menunjukkan komitmen terhadap pematuhan undang-undang dan peraturan EU.-AFP