BRUSSELS, 5 Jun- Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, menyatakan keyakinan bahawa negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan menyokong tuntutan Presiden Donald Trump untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara besar-besaran, menjelang sidang kemuncak pakatan itu pada akhir bulan ini.
Trump sebelum ini menggesa agar semua sekutu NATO meningkatkan perbelanjaan pertahanan masing-masing kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding sasaran semasa iaitu dua peratus.
“Saya sangat yakin dengan apa yang kami dengar tadi,” kata Hegseth selepas Mesyuarat Menteri Pertahanan NATO di Brussels pada Khamis. "Negara-negara di dalam dewan itu telah melepasi tahap dua peratus dan kami fikir hampir mencapai konsensus untuk komitmen lima peratus terhadap NATO", katanya.
Ketika tiba di perhimpunan itu, Hegseth menegaskan bahawa komitmen kepada sasaran lima peratus perlu dicapai menjelang Sidang Kemuncak NATO pada 24-25 Jun di The Hague.
“Kami rasa semua akan mencapainya,” ujarnya, sambil mengakui masih terdapat beberapa negara yang belum bersedia sepenuhnya, tanpa menyebut nama mereka.
Menurut diplomat, negara-negara Eropah memahami bahawa meningkatkan perbelanjaan pertahanan adalah 'harga' untuk memastikan komitmen Amerika Syarikat terhadap keselamatan benua itu.
Ia juga penting bagi membolehkan Trump mengisytihar kemenangan terhadap tuntutannya menjelang sidang kemuncak tersebut.
“Itu merupakan pelaburan tambahan yang besar,” kata Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, kepada media. Beliau menjangkakan satu keputusan rasmi mengenai sasaran baharu perbelanjaan akan diumumkan di The Hague.
Dalam usaha mencapai matlamat Trump, Rutte dilaporkan mencadangkan supaya negara anggota menaikkan perbelanjaan pertahanan kepada 3.5 peratus daripada KDNK, dan tambahan 1.5 peratus untuk perbelanjaan berkaitan keselamatan yang lebih luas.
Maklumat pelan pelaburan baharu itu dijangka terus dibincangkan sehingga saat akhir sebelum sidang kemuncak bermula.- REUTERS