VIENTIANE, 5 Jun- Presiden Laos, Thongloun Sisoulith pada Rabu menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Ketua Hakim Negara Malaysia, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang sedang melakukan lawatan ke Laos, sambil menekankan kepentingan lawatan itu dalam memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang kehakiman.
Menurut Agensi Berita Laos (KPL), Tengku Maimun sedang melakukan lawatan rasmi ke negara itu dari Selasa hingga Jumaat.
Thongloun berkata pertukaran itu menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara kedua-dua negara, serta memupuk sokongan jangka panjang, saling membantu dan perkongsian pengalaman dalam bidang kehakiman.
Presiden turut menyuarakan sokongan penuh terhadap kerjasama berterusan antara badan kehakiman Laos dan Malaysia, serta menekankan komitmen Laos untuk memelihara hubungan eratnya dengan Malaysia, rakan penting ASEAN yang mempunyai sejarah kerjasama yang panjang.
Beliau turut menekankan 2026 sebagai tahun penting, menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Tengku Maimun menyampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden Thongloun atas sambutan mesra dan menjelaskan matlamat lawatannya.
Beliau berkata lawatan itu bertujuan memperkukuh kerjasama kehakiman dalam kalangan negara ASEAN dan membantu Laos dalam persediaannya untuk menubuhkan Persatuan Peguam Laos, sebagai langkah ke arah mendapatkan keahlian dalam Persatuan Undang-Undang ASEAN.- BERNAMA-KPL