fb fb fb fb fb

Iran kecam sekeras-kerasnya veto AS terhadap resolusi gencatan senjata di Gaza

Foto AFP

TEHRAN, 5 Jun- Iran mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata serta akses kemanusiaan di Gaza.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, menerusi kenyataan menyifatkan tindakan AS itu sebagai bukti penglibatan negara tersebut dalam jenayah rejim Zionis dan mengkritik tindakan itu dengan sekeras-kerasnya.

Baqaei berkata veto tersebut bukan sahaja satu penghinaan terang-terangan oleh Kerajaan AS terhadap kehendak masyarakat antarabangsa. Ia juga menunjukkan keruntuhan moral pembuat keputusan Amerika dan bukti penglibatan Washington dalam pembunuhan rakyat Palestin oleh Israel.

Diplomat Iran itu juga menyeru masyarakat antarabangsa agar menggunakan segala keupayaan individu dan kumpulan untuk memaksa rejim Zionis dan penyokongnya menghentikan pembunuhan di Gaza.

Draf resolusi yang disokong oleh 14 daripada 15 ahli majlis tersebut menggesa gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza dihormati oleh semua pihak serta pembebasan tanpa syarat semua tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza.

Resolusi tersebut juga menyeru agar semua sekatan terhadap bantuan kemanusiaan yang masuk ke wilayah itu dihentikan.

Tehran, yang tidak mengiktiraf Israel, telah menjadikan isu Palestin sebagai teras dasar luar negaranya sejak Revolusi Islam 1979.-AFP

ROSLINA BINTI DIN