BEIJING 6 Jun – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden China, Xi Jinping, mengadakan panggilan telefon pada Khamis, dalam usaha meredakan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak serta konflik berkaitan isu mineral nadir bumi dan Taiwan.
Perbualan yang berlangsung lebih satu jam itu menyentuh pelbagai isu penting, namun kedua-dua pihak memberikan penekanan berbeza dalam kenyataan rasmi mereka.
Trump menggambarkan perbincangan itu sebagai “sangat positif”, khususnya dalam hal perdagangan, dan mengumumkan rundingan lanjutan akan diadakan tidak lama lagi.
Sebaliknya, kenyataan rasmi Beijing menyatakan Jinping menggesa Washington supaya menarik balik langkah-langkah provokatif, termasuk berkaitan Taiwan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Xinhua, Jinping memberi amaran agar Amerika Syarikat tidak mengancam kestabilan berhubung Taiwan dan menggesa agar Washington menghentikan sekatan perdagangan yang dilihat mengancam ekonomi global.
Jinping turut menyatakan bahawa pendekatan AS dalam isu eksport mineral nadir bumi adalah tidak realistik dan perlu dikaji semula.
Krisis perdagangan kali ini dipanaskan lagi dengan tindakan China pada April lalu yang menggantung eksport pelbagai jenis mineral kritikal dan magnet, yang penting kepada industri cip, automotif dan pertahanan global.
Langkah itu memberi tekanan kepada Trump secara politik apabila syarikat-syarikat AS mula bergelut dalam pengeluaran produk berasaskan mineral berteknologi tinggi.
Trump turut menyebut bahawa delegasi AS akan ke China untuk rundingan lanjutan, termasuk Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer.
Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk mengurangkan tarif selama 90 hari bermula 12 Mei, namun belum ada jaminan isu utama akan diselesaikan.
Trump telah beberapa kali menuduh China melanggar perjanjian tersebut dan mengambil langkah tambahan seperti mengharamkan perisian reka bentuk cip, yang dibalas Beijing dengan ancaman tindakan balas.
Walaupun hubungan antara kedua-dua kuasa besar berkenaan tegang, Trump dan Xi saling mempelawa untuk lawatan rasmi ke negara masing-masing.
Kali terakhir kedua-dua pemimpin bertemu ialah pada sidang kemuncak G20 di Osaka, Jepun, pada 2019.
Jinping juga pernah ke AS pada November 2023 bertemu Presiden Joe Biden.-REUTERS.