fb fb fb fb fb

Jerman, AS terus sokong Ukraine, bincang hala tuju NATO

Canselor Jerman, Friedrich Merz, menyampaikan ucapan pada majlis anjuran Persatuan Bandar dan Perbandaran Jerman yang berlangsung di Berlin / Foto REUTERS

WASHINGTON, 6 Jun – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Canselor Jerman, Friedrich Merz, mengadakan pertemuan rasmi di White House pada Khamis, membincangkan pelbagai isu termasuk perang di Ukraine, hubungan perdagangan serta kerjasama pertahanan melalui NATO.

Trump menyatakan bahawa tentera Amerika akan kekal berada di Jerman dan menyambut baik usaha Berlin meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara itu.

Beliau turut menyatakan kesediaan sama ada untuk mencapai perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah atau melaksanakan tarif jika perlu.

“Kita harap akan ada perjanjian perdagangan, tetapi saya juga okey dengan tarif,” kata Trump semasa sidang media bersama.

Sementara itu, Merz berkata beliau tidak menjangkakan kejayaan besar dalam pertemuan tersebut, namun menekankan pentingnya hubungan erat dengan Washington.

Isu-isu utama yang dibincangkan termasuk sokongan terhadap Ukraine, kedudukan tarif AS terhadap Eropah, serta komitmen terhadap NATO.

Jerman kini merupakan penyumbang kedua terbesar dalam bantuan ketenteraan dan kewangan kepada Ukraine, selepas Amerika Syarikat.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD