BERLIN, 5 Jun – Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, mengkritik tindakan Israel di Gaza dalam satu sidang media bersama rakan sejawatannya dari Israel, Gideon Saar, di Berlin pada Khamis.
Beliau sekali lagi menggesa supaya lebih banyak bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke wilayah tersebut.
Wadephul turut mengecam keputusan kerajaan Israel untuk meluluskan pembinaan 22 lagi penempatan baharu di Tebing Barat, dengan menyatakan bahawa langkah itu semakin menggugat prospek penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.
Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap serangan dron dan roket ke atas Israel oleh Iran dan kumpulan Houthi di Yaman, serta nasib tebusan-tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza.
Wadephul berkata bahawa Kesatuan Eropah perlu mengekalkan perjanjian kerjasama politik dan ekonomi dengan Israel, yang kini sedang dikaji semula sejak bulan lalu berikutan situasi di Gaza.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Jerman akan terus membekalkan senjata kepada Israel, memandangkan Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya.-REUTERS.
Tambah Wadephul lagi, Canselor baharu Jerman, Friedrich Merz, merancang untuk melawat Israel tahun ini sebagai tanda hubungan erat antara kedua-dua negara.
Dalam responsnya, Gideon Saar menolak dakwaan bahawa wujud sebarang perbalahan antara Jerman dan Israel, dan menegaskan bahawa tindakan Israel adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.-REUTERS