fb fb fb fb fb

IAEA jalankan pemeriksaan penting di tapak nuklear Syria

Foto REUTERS

DAMSYIK, 5 Jun – Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Mariano Grossi, mengetuai pasukan pemeriksaan keselamatan ke beberapa tapak di Damsyik pada Khamis, dalam usaha menyelesaikan isu lama berkaitan aktiviti nuklear Syria.

Lawatan itu susulan persetujuan yang dicapai dengan Presiden Syria, Ahmed Al-Sharaa, membenarkan Grossi dan pasukannya mendapat "akses serta-merta dan tanpa sekatan" ke lokasi-lokasi berkaitan.

Grossi menyifatkan pemeriksaan tersebut sebagai "langkah kritikal dan telus" ke arah penyelesaian isu yang tertunggak, menerusi kenyataan di 'X'.

Gambar dan rakaman video yang dikeluarkan IAEA menunjukkan Grossi dan para pemeriksa sedang meneliti beberapa tapak bagi mencari kesan aktiviti nuklear masa lalu.

Syria sebelum ini berdepan tekanan antarabangsa berhubung program nuklearnya, dan IAEA telah lama mendesak kerjasama lebih erat daripada negara itu.

Pemeriksaan tersebut dilihat sebagai detik penting dalam hubungan antara Syria dan IAEA. Namun setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai hasil pemeriksaan yang didedahkan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD