fb fb fb fb fb

Venezuela adakan latihan tentera awam sebagai tindak balas ancaman Trump

Ahli Angkatan Tentera Bolivarian menyertai latihan ketenteraan di Fort Tiuna. /Foto AFP

CARACAS, 21 September – Venezuela mengadakan latihan ketenteraan bersama orang awam pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap penempatan kapal perang Amerika Syarikat di Caribbean dan ancaman baharu Presiden Donald Trump.

Latihan yang berlangsung di beberapa kawasan termasuk Petare, Caracas itu menampilkan demonstrasi pengendalian senjata, pertolongan cemas dan latihan ideologi, walaupun jumlah penyertaan dilaporkan sederhana.

Presiden Nicolas Maduro menggesa jutaan rakyat bersiap sedia “mengangkat senjata” jika Venezuela diserang.

Langkah itu menyusul selepas Washington menghantar kapal perang dan jet pejuang F-35 berhampiran pesisir Venezuela, kononnya bagi operasi antidadah dan keganasan.

Caracas menuduh AS mahu menukar rejim serta merampas minyak dan sumber negara.

Dalam masa sama, Trump memberi amaran Venezuela bakal berdepan akibat “tidak terkira” jika enggan menerima semula migran yang didakwanya dihantar ke AS.

Sejak Januari lalu, lebih 13,000 warga Venezuela telah dipulangkan dalam penerbangan repatriasi. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI