fb fb fb fb fb

Utara Thailand banjir akibat ribut tropika Wipha

Penduduk wilayah utara Thailand, Nan meredah banjir/ REUTERS

NAN, 23 Julai – Wilayah utara Thailand, Nan, dilanda banjir susulan kesan daripada ribut tropika Wipha yang membawa hujan lebat berterusan hingga menyebabkan banjir setinggi paras pinggang.

Menurut agensi ramalan cuaca negara itu ribut tersebut mula melanda wilayah utara Vietnam — Ninh Binh dan Thanh Hoa — pada Selasa dengan kelajuan angin mencecah sehingga 74 kilometer sejam. Ribut tersebut dilaporkan mula perlahan daripada anggaran awal 100 kilometer sejam sejurus menghampiri kawasan pantai.

Hujan lebat hasil daripada pergerakan ribut berkenaan turut menjejaskan beberapa kawasan di utara Thailand, termasuk wilayah Nan, mengakibatkan jalan-jalan utama ditenggelami air dan perkhidmatan pengangkutan tempatan terganggu.

Pihak berkuasa perbandaran Nan telah mengeluarkan kenyataan awam kali ketiga dan menggesa penduduk agar kekal berwaspada.

Selain itu penduduk juga dinasihatkan untuk membuat persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana akibat kesan berterusan daripada ribut tropika tersebut.

Kesan sama turut dialami daerah Pua hingga menyebabkan laluan ditenggelami banjir.

Jabatan Meteorologi Thailand menjangkakan hujan lebat akan terus berlaku dalam beberapa hari mendatang, dengan wilayah timur laut diramal paling terjejas.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI