SEOUL, 23 Julai – Korea Selatan merekodkan pertumbuhan kadar kelahiran tertinggi dalam sejarah bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, iaitu 106,048 orang.
Pegawai agensi perangkaan negara itu memaklumkan, negara itu sedang berdepan cabaran demografi yang semakin membimbangkan.
Bagi mengekalkan kestabilan populasi, kerajaan Korea Selatan telah melaburkan berbilion dolar untuk menggalakkan wanita melahirkan lebih ramai anak.
"Bagi tempoh Januari hingga Mei, jumlah bayi baru lahir mencecah 106,048 orang, meningkat 6.9 peratus — kadar pertumbuhan tertinggi sejak data ini mula direkodkan pada 1981," kata Kang Hyun-young dari Statistik Korea.
Lonjakan itu menyusuli peningkatan tahunan pertama dalam bilangan kelahiran sejak lebih sedekad lalu, susulan peningkatan jumlah perkahwinan. Pada 2024, jumlah kelahiran meningkat sebanyak 8,300 atau 3.6 peratus kepada 238,300 berbanding tahun sebelumnya.
Bulan April mencatatkan peningkatan ketara dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 8.7 peratus, dengan jumlah kelahiran seramai 20,717 bayi pada bulan tersebut.
Angka terbaharu tersebut merupakan perubahan mendadak berbanding awal 2024, apabila jumlah kelahiran untuk tempoh Januari hingga Mei merosot 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kadar kesuburan — iaitu purata bilangan anak yang dijangka dilahirkan seorang wanita sepanjang hayatnya — bagi bulan Mei direkodkan pada paras 0.75.
Untuk mengekalkan populasi seramai 51 juta penduduk, Korea Selatan memerlukan kadar kesuburan sekurang-kurangnya 2.1.
Menurut Institut Penilaian Metrik dan Kesihatan (IHME), Universiti Washington, Seattle, sekiranya kadar semasa berterusan, jumlah penduduk dijangka menyusut hampir separuh iaitu 26.8 juta menjelang tahun 2100.- AFP