MANILA, 23 Julai – Filipina mengisytiharkan darurat bencana di Manila susulan cuaca buruk termasuk ribut tropika Wipha yang telah menyebabkan banjir besar di seluruh negara itu dan menjejaskan lebih 1.4 juta penduduk.
Menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina (NDRRMC), tujuh kematian telah direkodkan, manakala lapan lagi masih dilaporkan hilang.
Di Metro Manila, banyak jalan utama ditenggelami air, dengan paras banjir mencecah paras tayar kenderaan. Kehidupan harian penduduk terjejas teruk dengan gangguan kepada kerja dan persekolahan.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan Filipina telah mengeluarkan amaran hujan tahap tertinggi (amaran merah) pada Selasa untuk beberapa kawasan, termasuk ibu negara itu.
Jabatan kaji cuaca meramalkan jumlah hujan antara 100 hingga 200 milimeter akan melanda Manila dan beberapa kawasan lain pada Selasa dan Rabu.
Sebagai langkah keselamatan, pejabat Presiden Filipina telah menggantung operasi kerja dan sesi persekolahan di kawasan terjejas.
Bencana itu memberi kesan kepada penduduk setempat untuk melakukan rutin harian.
"Memang sukar bagi kami. Sejujurnya, bagi saya dan pengguna pengangkutan awam, sangat susah untuk pergi bekerja. Dan seperti yang anda lihat, paras banjir semakin tinggi," kata seorang penduduk Manila.
Banjir kilat akibat hujan lebat merupakan kejadian biasa di Metro Manila, mendorong ramai penduduk mendesak kerajaan supaya memberi keutamaan kepada projek saliran dan kawalan banjir bagi mengurangkan kesan banjir pada masa akan datang.- REUTERS