fb fb fb fb fb

Trump setuju kurang tarif ke atas Filipina

Donald Trump (kiri) dan Ferdinand Marcos/ REUTERS

WASHINGTON, 23 Julai – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersetuju untuk mengurangkan tarif ke atas Filipina sebanyak satu mata peratusan, selepas satu pertemuan dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos di White House.

Trump menyambut Marcos dengan menyifatkan beliau sebagai 'seorang perunding yang sangat tegas' dan berkata, "Kita hampir selesai memuktamadkan perjanjian perdagangan — dan ia adalah satu perjanjian besar."

Menerusi satu hantaran di platform Truth Social, Trump memaklumkan Filipina akan membuka pasaran sepenuhnya kepada barangan Amerika Syarikat, namun beliau tetap akan mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas produk Filipina, yang merupakan pengeksport utama barangan berteknologi tinggi dan pakaian.

"Ia adalah satu lawatan yang indah, dan kami telah memuktamadkan Perjanjian Perdagangan, di mana Filipina akan membuka pasaran kepada Amerika Syarikat, dan tiada tarif," tulis Trump.

Filipina merupakan antara ekonomi Asia yang menerima surat amaran daripada Trump bulan ini mengenai pelaksanaan tarif 20 peratus ke atas semua barangan masuk ke AS bermula 1 Ogos.

Namun kadar tarif 19 peratus itu masih lebih tinggi berbanding 17 peratus yang pernah diumumkan Trump pada April lalu.

Dalam satu sidang media di Manila pada Rabu, Setiausaha Akhbar Presiden Marcos, Claire Castro, mengesahkan kenyataan Trump mengenai tiada tarif bagi 'pasaran tertentu,' tanpa memperincikan lebih lanjut.

Beliau turut memaklumkan hanya 16 peratus eksport negara itu dihantar ke Amerika Syarikat dan dua pertiga daripadanya ialah komponen elektronik yang tidak tertakluk kepada tarif.

"Secara ringkas, ia memberi kesan kepada negara, tetapi tidaklah terlalu besar," katanya.

Sementara itu, Marcos menyifatkan situasi tarif tersebut boleh dikaji semula berdasarkan perubahan pasaran global.

Amerika Syarikat sebelum ini menempatkan peluru berpandu jarak jauh di Filipina dan turut menyatakan minat terhadap pengeluaran peluru di negara itu, meskipun pangkalan tentera laut AS di Subic Bay telah ditutup pada 1992 akibat tekanan awam.

"Semua usaha pemodenan ketenteraan Filipina ini adalah tindak balas kepada keadaan yang berlaku di Laut China Selatan.

"Kami benar-benar bimbang terhadap pertahanan wilayah kami dan pelaksanaan hak kedaulatan kami," kata Marcos.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI