fb fb fb fb fb

Usaha gagal pelantikan Presiden Venezuela, tujuh "penceroboh" ditahan

Foto AFP

CARACAS, 8 Januari- Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada Selasa mengumumkan penangkapan tujuh warga asing termasuk dua rakyat Amerika Syarikat (AS), yang dituduh sebagai "penceroboh" yang cuba menggagalkan pelantikannya untuk penggal enam tahun lagi.

Maduro mendakwa kumpulan itu termasuk dua "pembunuh upahan" Colombia dan tiga "tentera upahan" dari perang di Ukraine, yang merancang tindakan keganasan sebelum majlis angkat sumpahnya pada Jumaat.

"Saya yakin dalam beberapa jam lagi mereka akan mengaku," kata Maduro dalam siaran televisyen, sambil mengarahkan penempatan besar-besaran polis dan tentera di seluruh negara.

Pengumuman itu hadir selepas Presiden AS, Joe Biden, menyatakan sokongan kepada Edmundo Gonzalez Urrutia, calon pembangkang Venezuela yang berada kini dalam buangan.

Biden menyokong "peralihan damai kembali kepada pemerintahan demokratik" di Venezuela dan memberi amaran terhadap sebarang tindakan penindasan selanjutnya.

Pembangkang Venezuela mendakwa Gonzalez Urrutia memenangi pilihan raya presiden Julai lalu dengan majoriti besar tetapi keputusan rasmi didakwa dimanipulasi.

Maduro telah bertindak tegas terhadap pembangkang termasuk menahan individu asing, menyasarkan keluarga pemimpin pembangkang, dan menyerahkan senjata kepada militia pro-kerajaan untuk menyokong rejimnya.

Dalam pada itu, pemimpin pembangkang menyeru "jutaan" rakyat Venezuela turun ke jalanan pada Khamis untuk membantah pelantikan Maduro, tetapi kejayaan pergerakan ini masih tidak pasti.

Di tengah-tengah krisis ekonomi yang berlarutan dan ketakutan terhadap tindakan balas kerajaan, ramai rakyat Venezuela telah memilih untuk berhijrah ke luar negara.

Lebih tujuh juta penduduk telah meninggalkan negara itu, dengan ramai lagi merancang untuk mencari kehidupan yang lebih baik.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM